Monday 26 August 2013

Perjumpaan YB Menteri WP Bersama Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan


Bertempat di Dewan Serbaguna Blok 1 Kementerian Wilayah Persekutuan telah berlangsung sesi perjumpaan pertama YB Menteri WP bersama ahli parlimen Wilayah Persekutuan termasuk 4 ahli parlimen daripada Barisan Nasional dan 9 daripada pembangkang.

Sesi bermula dengan taklimat kepada semua Ahli Parlimen yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Adnan Md Ikhsan tentang visi, misi, sejarah dan lain-lain yang melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan termasuklah fungsi utama Kementerian dalam menguruskan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, kesemua ahli parlimen diberi penjelasan tentang program dan aktiviti KWP seperti pembangunan infrastruktur, pembangunan ekonomi, pembangunan komuniti dan pembangunan sukan Wilayah Persekutuan. Dalam membangunkan infrastruktur di Wilayah Persekutuan, beberapa perancangan turut dibentangkan antaranya projek Rumah Mampu Milik, Rumah Transit (council home), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Greater Kuala Lumpur dan Pembangunan Kampong Bharu.

Selain itu, pembangunan ekonomi dan komuniti pula melibatkan Pelancongan, Hub Oil and Gas dan penyelarasan penjaja manakala perkara yang melibatkan komuniti termasuk pembangunan usahawan di Wilayah Persekutuan, Program Pembangunan Insan, Local Agenda 21 dan Skim Keselamatan 1Wilayah.

Tiga fokus utama atau 3 Task Force yang diberi penekanan oleh KWP buat masa ini turut dijelaskan kepada ahli parlimen melibatkan Perumahan, Lalu Lintas dan Kebersihan di Wilayah Persekutuan. Antara yang diperincikan adalah berkenaan dengan penggubalan dasar RUMAWIP dan PPA1M khusus untuk menangani masalah perumahan rakyat termasuk penjawat awam. Menyediakan RUMAW1P dan PPA1M di Wilayah Persekutuan sebanyak 80,000 unit (50,000 di WPKL, 20,000 di WP Putrajaya dan 10,000 unit di WP Labuan).

Dalam menjadikan Kuala Lumpur bersih dan cantik, task force kebersihan diperincikan lagi dengan pelaksanaan beberapa program kesedaran dan promosi tentang kepentingan mengekalkan kebersihan serta pilot projek bagi mewujudkan Zon Bersih di beberapa kawasan yang akan ditentukan. Kawasan-kawasan yang perlu di selenggara dan dibaik pulih juga telah dikenal pasti dan akan dibangunkan semula dalam menjadikan Wilayah Persekutuan bersih dan sekaligus menjadi Bandar contoh.

Bercakap kepada media, YB Menteri Wilayah Persekutuan berkata sesi pertama ini adalah sesi pengenalan dan jika ada keperluan dan masa program seperti ini akan diadakan lagi kelak."Dalam menjadikan Wilayah Persekutuan sejahtera, kita perlu bersama dan berbincang untuk merealisasikan semua perkara ini, dan jika ada perkara yang berbangkit selepas ini kita akan berjumpa berdasarkan keperluan dan masa".

Sesi taklimat yang turut diserikan lagi dengan Majlis Sambutan Hari Raya yang pertama kalinya mengumpulkan semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang di Wilayah Persekutuan menutup program tengahari tadi.

0 comments:

Post a Comment

Akaun ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang disiarkan melalui laman blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.