Monday 26 August 2013

Perjumpaan YB Menteri WP Bersama Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan


Bertempat di Dewan Serbaguna Blok 1 Kementerian Wilayah Persekutuan telah berlangsung sesi perjumpaan pertama YB Menteri WP bersama ahli parlimen Wilayah Persekutuan termasuk 4 ahli parlimen daripada Barisan Nasional dan 9 daripada pembangkang.

Sesi bermula dengan taklimat kepada semua Ahli Parlimen yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Adnan Md Ikhsan tentang visi, misi, sejarah dan lain-lain yang melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan termasuklah fungsi utama Kementerian dalam menguruskan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, kesemua ahli parlimen diberi penjelasan tentang program dan aktiviti KWP seperti pembangunan infrastruktur, pembangunan ekonomi, pembangunan komuniti dan pembangunan sukan Wilayah Persekutuan. Dalam membangunkan infrastruktur di Wilayah Persekutuan, beberapa perancangan turut dibentangkan antaranya projek Rumah Mampu Milik, Rumah Transit (council home), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Greater Kuala Lumpur dan Pembangunan Kampong Bharu.

Selain itu, pembangunan ekonomi dan komuniti pula melibatkan Pelancongan, Hub Oil and Gas dan penyelarasan penjaja manakala perkara yang melibatkan komuniti termasuk pembangunan usahawan di Wilayah Persekutuan, Program Pembangunan Insan, Local Agenda 21 dan Skim Keselamatan 1Wilayah.

Tiga fokus utama atau 3 Task Force yang diberi penekanan oleh KWP buat masa ini turut dijelaskan kepada ahli parlimen melibatkan Perumahan, Lalu Lintas dan Kebersihan di Wilayah Persekutuan. Antara yang diperincikan adalah berkenaan dengan penggubalan dasar RUMAWIP dan PPA1M khusus untuk menangani masalah perumahan rakyat termasuk penjawat awam. Menyediakan RUMAW1P dan PPA1M di Wilayah Persekutuan sebanyak 80,000 unit (50,000 di WPKL, 20,000 di WP Putrajaya dan 10,000 unit di WP Labuan).

Dalam menjadikan Kuala Lumpur bersih dan cantik, task force kebersihan diperincikan lagi dengan pelaksanaan beberapa program kesedaran dan promosi tentang kepentingan mengekalkan kebersihan serta pilot projek bagi mewujudkan Zon Bersih di beberapa kawasan yang akan ditentukan. Kawasan-kawasan yang perlu di selenggara dan dibaik pulih juga telah dikenal pasti dan akan dibangunkan semula dalam menjadikan Wilayah Persekutuan bersih dan sekaligus menjadi Bandar contoh.

Bercakap kepada media, YB Menteri Wilayah Persekutuan berkata sesi pertama ini adalah sesi pengenalan dan jika ada keperluan dan masa program seperti ini akan diadakan lagi kelak."Dalam menjadikan Wilayah Persekutuan sejahtera, kita perlu bersama dan berbincang untuk merealisasikan semua perkara ini, dan jika ada perkara yang berbangkit selepas ini kita akan berjumpa berdasarkan keperluan dan masa".

Sesi taklimat yang turut diserikan lagi dengan Majlis Sambutan Hari Raya yang pertama kalinya mengumpulkan semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang di Wilayah Persekutuan menutup program tengahari tadi.

Saturday 24 August 2013

Majoriti Bahagian dalam UMNO mahu jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.














"Ia terserah kepada individu masing-masing, kita tak boleh menyekat. Tetapi maklum balas yang saya terima daripada semua bahagian adalah, mereka tidak mahu pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika mengulas tentang saranan Setiausaha Agung Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub agar Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak bertanding jawatan MT kerana mereka lebih diperlukan di peringkat negeri. 


YB Kunan yang juga Setiausaha Agung UMNO Malaysia dan Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian ketika di Paya Indah Wetland, Dengkil bersempena dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Audit Negara.


Dalam pada itu, YB Menteri Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan kepada Kelab Audit Wilayah Persekutuan sebanyak RM10,000.00.

Thursday 22 August 2013

Pelancaran Laman Website Rasmi Pelancongan KL dengan Aplikasi Mudah Alih Memudahkan Pelancong
















YB Menteri Wilayah Persekutuan hari ini telah melancarkan laman web rasmi pelancongan bagi Kuala Lumpur iaitu www.visitkl.gov.my dengan aplikasi mudah alih. Website baharu yang mesra pengguna ini menawarkan perkhidmatan dan pelbagai informasi kepada pelancong seperti hotel, restoran, tempat tarikan pelancongan serta pelbagai tip lawatan ke Kuala Lumpur. Laman web ini juga padat dengan informasi terkini dan mempunyai 2000 pautan ke laman web lain untuk carian yang lebih khusus. Ciri-ciri lain yang disediakan termasuklah pelbagai jenis aplikasi, video promosi Kuala Lumpur dan media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Melalui pembangunan laman web ini, DBKL juga telah membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelancong untuk mengakses maklumat dan informasi tentang Kuala Lumpur. YB Menteri Wilayah Persekutuan dan YBhg Datuk Bandar Kuala Lumpur diberi penghormatan untuk menjadi antara yang pertama di dunia memuat turun aplikasi mudah alih Visit KL pada telefon pintar mereka. Aplikasi ini disediakan khas untuk para pengguna IOS dan Android.

Dalam pada itu, YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama-sama dengan YBhg. Datuk Seri Ahmad Phesal Hj. Talib, Datuk Bandar Kuala Lumpur tiba di "Kuala Lumpur Hari Raya & Cultural Festival 2013" dengan menaiki tram dari Muzium Kesenian Islam, Taman Warisan Tun Abdul Razak dan secara rasminya laluan baharu perkhidmatan tram yang menghubungkan para pelancong ke Taman Warisan Tun Abdul Razak (zon alam semula jadi) dan Dataran Merdeka (zon warisan) diperkenalkan.

Sebelum ini, tram di Taman Warisan Tun Abdul Razak hanya membawa pelancong melawat ke 14 tempat tarikan sekitar taman. Laluan baharu ini akan memberi peluang kepada para pelancong melawat kawasan sekitar Dataran Merdeka dengan menaiki tram. Waktu operasi tram adalah dari jam 9.00 pagi hingga jam 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga jam 4.00 petang pada hari bekerja. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas pada waktu puncak.

 

 

Saturday 17 August 2013

KENYATAAN MEDIA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR, MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN.

                         Gambara Arkib


Saya ingin merujuk kepada artikel Malaysiakini bertarikh 16 Ogos 2013 bertajuk "Mangsa Kebakaran Dipaksa Pindah Dari Pusat Perlindungan. Menteri Digesa Timbang Rayuan Mangsa Kebakaran." Adalah dimaklumkan bahawa sepanjang musim cuti hari Raya Aidilfitri ini terdapat sebanyak 7 kejadian kebakaran di sekitar Kuala Lumpur bermula dari 3 Ogos 2013 hingga 11 Ogos 2013 melibatkan 88 keluarga. Saya telah mengadakan lawatan ke 2 pusat pemindahan iaitu di Pusat Komuniti Taman Ibukota dan Pusat Komuniti Sentul serta menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat. Dalam pertemuan dengan keluarga mangsa yang terlibat dan dalam sidang media, saya telah menjelaskan beberapa perkara iaitu:  

1. Mangsa kebakaran Kampung Chubadak, Sentul yang ditempatkan di Pusat Komuniti Taman Ibukota terpaksa berpindah kerana tempat tersebut akan digunakan untuk kenduri perkahwinan dan telah ditempah lebih awal. Pihak DBKL sebelum ini telah menawarkan rumah kepada mangsa tersebut di PPR Bukit Jalil pada 13 Ogos 2013 yang lalu.

2. Semua keluarga mangsa kebakaran yang bersetuju untuk berpindah akan
menerima Saguhati Perpindahan sebanyak RM1,000.00 dan telah menerima bantuan bencana sebanyak RM300.00 dari DBKL. Selain itu, pihak DBKL juga turut menyediakan lori dan membantu semua keluarga mangsa yang berpindah ke PPR Bukit Jalil.

3. Saya juga telah menyampaikan bantuan ihsan sebanyak RM500.00 dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan bantuan sebanyak RM300.00 kepada keluarga mangsa terlibat. Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah menyampaikan bantuan sebanyak RM 3,000.00 kepada keluarga mangsa terbabit.

4. Bagi keluarga yang bersetuju untuk berpindah dan mempunyai masalah berkenaan persekolahan anak, pihak DBKL akan membantu menyediakan perkhidmatan bas dari PPR Bukit Jalil ke stesen LRT dan Monorail berdekatan.

5. Rumah yang ditawarkan untuk disewa di PPR Bukit Jalil juga akan dipasang kemudahan elektrik dan air serta merta dan dikecualikan bayaran sewa selama 3 bulan.

6. Mangsa kebakaran yang menerima tawaran untuk berpindah akan turut ditawarkan untuk membeli rumah tersebut. Pihak Yayasan Wilayah Persekutuan akan menyediakan kemudahan pinjaman untuk membeli rumah tersebut.

7. Pihak DBKL juga akan menimbang untuk menyediakan rumah yang berdekatan sekiranya terdapat kekosongan.

Sekian, terima kasih.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR 
Menteri Wilayah Persekutuan
17 Ogos 2013
Kuala Lumpur

Friday 16 August 2013

"Saya Tahu Ada Mulut Jahat Yang Buat Fitnah" Tengku Adnan Tengku Mansor.

 
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengecam segelintir pihak yang cuba memburukkan keadaan dan menabur fitnah kepada pihak DBKL berkenaan dengan pemberian rumah PPR kepada mangsa kebakaran di Sentul baru-baru ini. "Saya tahu ada dalang yang buat fitnah kata di PPR Batu Muda ada kekosongan rumah, sengaja mengapi-apikan saudara-saudari yang pihak DBKL sengaja pindahkan ke Puncak Jalil, saya nak bagitau kalau ada kosong kita akan beri, tetapi masalahnya tidak ada kekosongan di Batu Muda yang ada sekarang di PPR Puncak Jalil. Tetapi jika selepas ini ada kekosongan di PPR Batu Muda pihak kita akan beri keutamaan kepada anda semua disini untuk berpindah." ulas Kunan.


YB Menteri berkata demikian ketika melawat mangsa di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, Danau Kota, KL.

Tambahnya lagi, pemasangan air dan api sudahpun diuruskan. "kita mahu semua mangsa berpindah secepat mungkin, pihak kita juga sudah sediakan lori untuk memudahkan urusan pemindahan barang, saya harap semuanya berjalan dengan lancar. Buat sementara waktu pindah dahulu ke Puncak Jalil, saya janji jika ada kekosongan di Batu Muda kita akan beri keutamaan kepada saudara-saudari sekalian" kata YB Menteri.


Dalam pada itu, YB Menteri Wilayah Persekutuan turut  menyampaikan sumbangan kepada 48 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran Rumah Panjang Bandar Baru Sentul. Bantuan yang bertujuan meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mangsa kebakaran sementara urusan pemindahan rumah selesai. Bantuan termasuk sumbangan peribadi YB Menteri sebanyak RM500.00, serta bantuan daripada pihak Yayasan Wilayah Persekutuan berjumlah RM300.00 dan DBKL RM150.00.

Menjawab soalan wartawan, Kunan berkata kawasan kebakaran tersebut akan dibersihkan dan akan dibangunkan untuk kemudahan rakyat seperti perumahan dan lain-lain.

Sunday 11 August 2013

Timb. Menteri WP: Surat Tawaran Rumah PPR Dalam Masa 2 Hari


Lebih kurang jam 2 petang tadi, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J. Loga Bala Mohan   bersama para pegawai daripada Kementeri Wilayah Persekutuan telah melawat ke Pusat Pemindahan Mangsa Kebakaran di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, Danau Kota Kuala Lumpur.


YB Timbalan Menteri meluangkan masa hampir 1 jam untuk bersama 35 keluarga mangsa kebakaran dan memberikan kata-kata semangat supaya bersabar dan menempuh dugaan ini dengan tenang. "kita akan bantu sedaya upaya kita, kita akan keluarkan surat tawaran rumah PPR di Bukit Jalil dan Puchong dalam tempoh dua hari, terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan untuk tinggal dimana" ulas beliau.

Selain itu, Datuk Dr J Loga Bala Mohan berkata bantuan bencana turut akan diberikan sebanyak RM300.00 dan akan disalurkan terus kepada mangsa kebakaran nanti.

Dalam pada itu, kebakaran yang melibatkan 35 keluarga ini berlaku pada ketika umat Islam menyambut bulan Syawal yang baru masuk hari kedua, kiranya mereka sudah hampir dua hari di sini. Kejadian yang berlaku di Rumah Panjang Bandar Baru Sentul itu sangat pahit sebenarnya, tetapi semangat mangsa yang tabah menjadi kekuatan dan sokongan diantara satu sama lain. Mujur semangat yang dibawa YB Timbalan Menteri menjadi suntikan baru buat mangsa kebakaran ini untuk terus bertahan sementara urusan pemindahan diselesaikan.



.

Sunday 4 August 2013

Majlis IFTAR Peringkat Parlimen Segambut

Parlimen Segambut menjadi destinasi terakhir Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Menteri Wilayah Persekutuan dalam rangka lawatan beliau ke seluruh parlimen dalam Wilayah Persekutuan sepanjang bulan ramadhan ini. Majlis yang diserikan lagi dengan kehadiran lebih 100 penerima sumbangan Ihya' Ramadhan serta orang ramai yang mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Ketika berucap dalam majlis itu, YB Menteri Wilayah Persekutuan mahu analisis segara dilakukan oleh peringkat bahagian mengapa Barisan Nasional boleh tewas dua terma berturut-turut. "Adakah tuan-tuan mengatakan bahawa parti pembangkang lebih baik daripada Barisan Nasional, mungkin dalam ramai-ramai disini ada yang mengundi pembangkang, hanya kerana bukan melayu yang menjadi calon, memang betul calon BN juga adalah daripada kaum India, tetapi mungkin tuan-tuan lupa bahawa ulil amrinya adalah seorang Islam, tetapi jika parti pembangkang yang memerintah belum tentu pemimpinnya kalangan orang Islam".

Tambahnya lagi, "mungkin juga perpecahan yang wujud dalam bahagian yang menjadi punca kekalahan pru lepas, bila diletakkan calon, ada yang kata 'yes' ada pulak yang kata 'no', ini sebenarnya yang menjadi masalah, tidak ada kesepakatan." Dalam pada itu Ku Nan turut memberi peringatan jika mahu menjadi ketua, laksanakan tanggungjawab dengan baik, bukannya hanya kerana mahu mendapatkan projek atau kuasa semata-mata.

Majlis yang bertempat di Masjid Al-Firdaus Segambut itu diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada Masjid Al-Firdaus sebanyak RM 10,000.00 serta bantuan Skim Prihatin 1Malaysia Wilayah Persekutuan kepada pemohon yang berjaya. Ku Nan juga menyampaikan sumbangan Ihya' Ramadhan kepada lebih 100 penerima parlimen Segambut.

Lawatan Ku Nan ke Masjid India

"Kamu asal dari mana? Ini lesen siapa?" tanya Ku Nan kepada salah seorang peniaga di Masjid India sebentar tadi.

Hari ini YB Menteri Wilayah Persekutuan telah meluangkan masa lebih 1 jam, melawat sekitar Masjid India untuk melihat keadaan semasa dan membuat pemeriksaan lesen ke atas peniaga-peniaga bagi memastikan lesen yang diberi tidak disalah guna atau dijual kepada warga asing."Waktu saya datang kali pertama, saya sudah berjanji untuk datang semula untuk melihat, memantau sekaligus memastikan apa yang dilaksanakan oleh persatuan, daripada apa yang saya lihat memang mereka akur dan tidak memberi lesen kepada warga asing" kata Ku Nan.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa setakat ini pihak berkuasa telah menyita satu ruang perniagaan haram warga asing. Pendekatan baru turut diguna pakai oleh pihak berkuasa apabila ruangan tapak perniagaan yang kurang mendapat sambutan pelanggan ditukar dan diberi ruang perniagaan yang lebih baik. "Setakat hari ini tiga kali pemindahan sudah kita lakukan, dan daripada respon peniaga yang saya terima, mereka sangat gembira dengan pendekatan baru yang dilakukan oleh DBKL, tidak seperti tahun-tahun dulu yang tidak membenarkan mereka berpindah atau menukar tapak perniagaan." jelas Ku Nan.

Menteri Wilayah Persekutuan itu juga memberitahu terdapat 545 gerai sepanjang Jalan TAR dan pemantauan sentiasa dilakukan untuk memastikan peniaga dan pengguna berada dalam keadaan selesa tambahan pula menjelang musim perayaan aidilfitri. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuklah penguatkuasa DBKL, serta Persatuan dan pegawai yang terlibat dalam memastikan keadaan di sini berjalan lancar.



Tengku Adnan Tengku Mansor ketika menjawab soalan wartawan berkenaan dengan tapak perniagaan haram, beliau dengan serius berkata tindakan tegas tetap akan diambil jika perniagaan tanpa lesen. "Jika betul mereka ini mahu berniaga tolong mohon lesen dan kita akan beri peluang berniaga, tetapi diruang perniagaan yang telah disediakan, bukan sesuka hati dan menggangu kawasan sekitar sehingga mendatangkan kesesakkan, kalau mereka langgar peraturan kita terpaksa ambil tindakan,tetapi saya sentiasa menasihatkan pegawai saya supaya menggunakan pendekatan yang lebih lembut dengan menasihati, tidak mengeluarkan sebarang saman, sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas peniaga-peniaga".















Saturday 3 August 2013

Majlis IFTAR Peringkat Parlimen Seputeh

"kita perlu ingat bahawa parti Islam yang terbesar dalam Negara adalah UMNO sebenarnya selaras dengan perlembagaan UMNO Fasal 3, tetapi kita tidak pernah menjual walau sepotong ayat Al-Quran atau hukum agama untuk kepentingan politik dan kuasa" Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas di Majlis IFTAR Peringkat Parlimen Seputeh Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mengingatkan tentang pentingnya kesepakatan dan perpaduan agar tidak berlaku perpecahan. "walaupun kaum melayu adalah minoriti di kawasan ini, tetapi adakah kita bersatu dan cukup mantap di dalam kawasan yang bukan melayu, janganlah kita meletakkan kepentingan individu semata-mata, saya merayu pada semua disini bersatulah kerana kita tak mahu perkara yang terjadi di negara Islam lain seperti di Mesir terjadi pada Negara kita".

 

 
Dalam pada itu, YB Menteri Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Nurul Hidayah sebanyak RM 10,000.00 serta bantuan khas untuk Orang Kelainan Upaya, Ibu Tunggal, anak-anak yatim dan ahli keluarga yang berpendapatan rendah. Program yang menjelajah seluruh parlimen sekitar Wilayah Persekutuan adalah yang ke 12 sepanjang bulan ramadhan dan yang terakhir adalah di Segambut.