Saturday 17 August 2013

KENYATAAN MEDIA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR, MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN.

                         Gambara Arkib


Saya ingin merujuk kepada artikel Malaysiakini bertarikh 16 Ogos 2013 bertajuk "Mangsa Kebakaran Dipaksa Pindah Dari Pusat Perlindungan. Menteri Digesa Timbang Rayuan Mangsa Kebakaran." Adalah dimaklumkan bahawa sepanjang musim cuti hari Raya Aidilfitri ini terdapat sebanyak 7 kejadian kebakaran di sekitar Kuala Lumpur bermula dari 3 Ogos 2013 hingga 11 Ogos 2013 melibatkan 88 keluarga. Saya telah mengadakan lawatan ke 2 pusat pemindahan iaitu di Pusat Komuniti Taman Ibukota dan Pusat Komuniti Sentul serta menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat. Dalam pertemuan dengan keluarga mangsa yang terlibat dan dalam sidang media, saya telah menjelaskan beberapa perkara iaitu:  

1. Mangsa kebakaran Kampung Chubadak, Sentul yang ditempatkan di Pusat Komuniti Taman Ibukota terpaksa berpindah kerana tempat tersebut akan digunakan untuk kenduri perkahwinan dan telah ditempah lebih awal. Pihak DBKL sebelum ini telah menawarkan rumah kepada mangsa tersebut di PPR Bukit Jalil pada 13 Ogos 2013 yang lalu.

2. Semua keluarga mangsa kebakaran yang bersetuju untuk berpindah akan
menerima Saguhati Perpindahan sebanyak RM1,000.00 dan telah menerima bantuan bencana sebanyak RM300.00 dari DBKL. Selain itu, pihak DBKL juga turut menyediakan lori dan membantu semua keluarga mangsa yang berpindah ke PPR Bukit Jalil.

3. Saya juga telah menyampaikan bantuan ihsan sebanyak RM500.00 dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan bantuan sebanyak RM300.00 kepada keluarga mangsa terlibat. Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah menyampaikan bantuan sebanyak RM 3,000.00 kepada keluarga mangsa terbabit.

4. Bagi keluarga yang bersetuju untuk berpindah dan mempunyai masalah berkenaan persekolahan anak, pihak DBKL akan membantu menyediakan perkhidmatan bas dari PPR Bukit Jalil ke stesen LRT dan Monorail berdekatan.

5. Rumah yang ditawarkan untuk disewa di PPR Bukit Jalil juga akan dipasang kemudahan elektrik dan air serta merta dan dikecualikan bayaran sewa selama 3 bulan.

6. Mangsa kebakaran yang menerima tawaran untuk berpindah akan turut ditawarkan untuk membeli rumah tersebut. Pihak Yayasan Wilayah Persekutuan akan menyediakan kemudahan pinjaman untuk membeli rumah tersebut.

7. Pihak DBKL juga akan menimbang untuk menyediakan rumah yang berdekatan sekiranya terdapat kekosongan.

Sekian, terima kasih.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR 
Menteri Wilayah Persekutuan
17 Ogos 2013
Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment

Akaun ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang disiarkan melalui laman blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.