Monday 30 December 2013

Raikan 2014 Dengan Syukuri Nikmat Kesejahteraan, Buang Niat Guling Kerajaan

KUALA LUMPUR, 31 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas tindakan segelintir pihak yang berniat untuk menggulingkan kerajaan walhal kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) hari ini sentiasa mengutamakan rakyat dan memelihara kesejahteraan.

Katanya, niat sedemikian adalah terpesong dengan mentaliti sebagai seorang yang berfikiran matang dan waras apatah lagi tindakan menggulingkan kerajaan hanya akan membantutkan matlamat negara untuk menuju negara maju pada tahun 2020 kelak.

“Dalam suasana kita berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera menjelang tahun baru 2014, mengapa perlunya kita sebarkan hasutan sedemikian kepada rakyat keseluruhan?” soal beliau kepada UMNO-Online hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melihat tindakan tersebut adalah tidak wajar apatah lagi menjadikan Ibu Kota sebagai medan untuk berdemonstrasi sedangkan realitinya lokasi terbabit menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa termasuklah pelancong asing untuk bersama-sama meraikan ambang tahun baru.

“Tak perlulah kita terpengaruh dengan agenda segelintir pihak yang kononnya mahukan perubahan melalui himpunan jalanan walhal ia tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana nilai perpaduan dan semangat kekitaan telah tertanam pada semua warganegara tanpa mengira agama, bangsa dan adat budaya masing-masing,” katanya.

Jelasnya, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) telahpun melakukan perubahan melalui transformasi yang dilaksanakan tanpa sebarang agenda negatif sebaliknya rakyat mendapat manfaat.

“Kita telah melalui usia lebih 56 tahun sejak kemerdekaan dengan kesinambungan sebuah kerajaan yang diterajui BN, membantu rakyatnya keluar dari kemiskinan, bawa negara kepada kemajuan dan pembangunan yang kita hari ini dapat rasai sendiri nikmatnya, jadi mengapa kita mesti rosakkan apa yang telah kita bina selama ini.”

Katanya, sewajarnya peralihan tahun akan menjadi satu transformasi untuk memastikan bukan hanya diri sendiri atau keluarga dan rakan-rakan sebaliknya bersama-sama menyokong kerajaan dalam sebuah masyarakat untuk kecemerlangan negara pada masa hadapan.

“Kita tidak pernah endah dengan provikasi, manipulasi dan tohmahan negatif segelintir pihak yang sememangnya mahu melihat kita melatah dan melakukan kesilapan.

“Sebagai sebuah kerajaan kita juga sedar malah Perdana Menteri sendiri telah akui bahawa BN bukanlah kerajaan yang sempurna, ada berbuat silap tetapi kita mahu membetulkan keadaan dan menambahbaik mana-mana yang kurang malah bersedia menerima teguran namun bukanlah melalui himpunan jalanan,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat membuat penilaian sewajarnya supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan pemimpin terbabit sebaliknya menyambut kehadiran tahun baru 2014 dengan penuh kesyukuran. – MediaUMNO

Saturday 21 December 2013

"Saya tidak pernah tidak hormat perempuan, saya ada enam anak perempuan" KUNAN


KUALA LUMPUR:  Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf jika golongan wanita terasa dengan kenyataannya yang dikatakan menyamakan wanita dengan hartanah.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kenyataan itu telah disalahertikan oleh pihak tertentu dan beliau tidak bermaksud membuat wanita tersinggung.

"Saya tidak pernah menyamakan wanita dengan hartanah. Apa saya maksudkan orang tidak faham iaitu kalau anda buat rumah cantik, seperti wanita juga...kalau mahu cantik pakai 'makeup'," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA di sini, hari ini.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati golongan wanita kerana beliau sendiri memiliki ramai anak perempuan.

"Saya tidak pernah tidak hormat perempuan...saya ada enam anak perempuan, bahkan dalam Umno, separuh daripadanya adalah golongan wanita...sebab itu jika wanita tersinggung, saya minta maaf dan saya memang tidak bermaksud," katanya.

Semalam, Tengku Adnan dilaporkan menghina wanita Malaysia apabila menyatakan bahawa 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek dan jika tidak memakai alat solek harganya menurun' ketika menjelaskan mengenai kadar cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan itu, Tengku Adnan berharap ia (amanat) akan menyuntik semangat kepada semua anggota MCA terutama barisan kepimpinan tertinggi baharu parti itu yang akan dipilih hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata dalam usaha mengembalikan semula keyakinan masyarakat Cina di negara ini untuk memilih MCA, semua parti komponen BN akan berganding bahu dalam merealisasikan harapan itu.

"Kita BN sebagai satu parti yang berbilang bangsa akan teruskan apa juga kerjasama yang telah kita amalkan selama ini...kita akan bekerjasama dengan MCA dan berharap selepas pemilihan ini MCA akan bertambah kuat dan akan mewakili rakyat Cina," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN dalam ucapan perasmiannya hari ini menggariskan empat langkah untuk MCA mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu iaitu 'reunite', 'restrategies', 'reinvigorate' dan 'reestablish'. 

Thursday 19 December 2013

KEPUTUSAN KENAIKAN CUKAI PINTU: KENYATAAN PENUH MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN


PEJABAT YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Blok 2, Menara Seri Wilayah, Presint 2, 62100 Putrajaya
Tel: 03-8889 7888  Faks: 03-8889 7957
Laman web: www.kwp.gov.my 
CUKAI TAKSIRAN DBKL

1.             DBKL telah pun menghantar  Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian kepada pemilik-pemilik hartanah di Kuala Lumpur. Notis ini bertujuan memaklumkan cadangan Nilai Tahunan hartanah pemilik untuk dikuatkuasa mulai 1 Januari 2014.
2.          Secara  mudahnya, tafsiran nilaian tahunan dijelaskan seperti berikut:

a.          Bagi tanah yang telah dibina bangunan, Nilai Tahunan bermaksud anggaran sewa kasar setahun yang dijangka munasabah diperolehi daripada bangunan berkenaan. Sebagai contoh, jika bangunan tersebut ditaksir memperoleh sewa RM1,000 sebulan, maka Nilai Tahunannya RM 12,000.

b.             Bagi tanah yang masih kosong, Nilai Tahunan adalah 10% daripada Nilai PasaranTanah. Sebagai contoh jika nilai pasaran tanah RM500,000, maka Nilai Tahunannya RM50,000.

3.               Nilai Tahunan bukanlah cukai taksiran yang perlu dibayar. Cukai taksiran hanyalah beberapa peratus dari Nilai Tahunan.
 Contoh bayaran cukai taksiran adalah seperti berikut :-
JENIS HARTA
NILAI TAHUNAN (RM)
PERATUS KADAR (%)
JUMLAH CUKAI TAKSIRAN (RM)
Rumah Teres
12,000
6
720
Tanah Kosong
50,000
6
3,000

4.              Walaupun saya bersetuju supaya DBKL melaksanakan Penilaian Semula kepada hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi saya telah meminta supaya Penilaian Semula tersebut hendaklah tidak mengakibatkan kenaikan yang terlalu tinggi ke atas jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik harta sehingga membebankan mereka. Oleh itu, atas keperihatinan tersebut dan selepas membaca sebahagian dari bantahan yang telah diterima, saya dengan ini ingin mengumumkan perkara-perkara berikut untuk Cukai Taksiran tahun 2014:-
PERTAMA
Kadar peratusan yang digunakan untuk mengira jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar
DIKURANGKAN seperti berikut:

JENIS HARTA
DALAM 36 BATU PERSEGI
LUAR 36 BATU PERSEGI
2013
2014
2013
2014

Perdagangan

12%

10%

10%

8%

Pangsapuri Servis

10%

7%

8%

5%

Kediaman

6%

4%

6%

4%
Rumah Pangsa Kos Rendah

6%

2%

6%

2%
Tanah kosong perdagangan

10%

7%

6%

5%

Tanah kosong kediaman

7%

5%

6%

5%

Kampung Baru, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Melayu Segambut Dalam



2%



1%



2%



1%
Lain-lain Kampung              Bangunan
Tanah Kosong


3%
2%


2%
1%


3%
2%


2%
1%

KEDUA
Insentif dalam bentuk pengurangan kepada jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar akan diberi kepada:
 i.        Pemilik harta yang terdiri dari Orang Kurang Upaya (OKU).
 ii.        Pemilik harta yang merupakan Pesara.
 iii.        Pemilik harta yang mendiami sendiri kediaman mereka (tidak menyewakan).
Pemilik-pemilik harta yang dalam kategori di atas bolehlah mengisi borang permohonan yang boleh didapati dari kaunter-kaunter pembayaran DBKL dan mengembalikan kepada DBKL bersama dengan dokumen bukti yang berkaitan.
KETIGA
Kenaikan jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik rumah kos rendah dan kos sederhana rendah hendaklah pada paras yang paling minima, manakala untuk rumah kos tinggi hendaklah tidak melebihi 10% dan bangunan komersil tidak melebihi 35% dari jumlah cukai taksiran yang dibayar sekarang.
KEEMPAT
Sementara Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai Pintu mendengar semua bantahan, pemilik harta dibenarkan menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama pada Januari 2014 berasaskan kepada jumlah cukai taksiran semasa yang dikenakan pada tahun 2013 (Jumlah Lama). Pelarasan akan dibuat dalam bil cukai taksiran penggal kedua Julai 2014.
5.              Tanpa mengambil kira perkara-perkara diatas, pemilik harta yang telah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada DBKL sebelum atau pada 17 Disember 2013,  akan tetap dipanggil ke sesi pendengaran bantahan yang akan dimulakan pada 6 Januari 2014 sehingga 31 Mac 2014. Jika pemilik dapat membuktikan bahawa, Nilai Tahunan yang dicadangkan oleh DBKL terhadap harta mereka adalah tinggi, Jawatankuasa Pendengaran Bantahan boleh mengurangkan lagi Nilai Tahunan tersebut. Ini akanmengurangkan lagi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik.

6.              Saya berharap, keputusan saya ini akan dapat meredakan kegusaran pemilik harta sekelian dan saya juga akan memastikan DBKL mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan mereka dan memperbanyakkan lagi penyediaan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan warga kota semua.
SEKIAN.
Disediakan oleh:
PEJABAT YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Kementerian Wilayah Persekutuan  

19 Disember 2013
PUTRAJAYA

Friday 6 December 2013

Misi Kemanusiaan UMNO Putrajaya Bantu Mangsa Banjir di Pahang

Tahniah UMNO Putrajaya melalui Ketua Cawangan dan Ketua Pemuda Cawangan UMNO yang berjaya mengumpulkan seramai 18 orang sukarelawan dalam misi penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di Pahang. Rombongan membawa mesej khas daripada Ketua UMNO Bahagian Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak dapat bersama kerana sibuk dengan tugasan di Perhimpunan Agung UMNO 2013.

Rombongan turut membawa bantuan untuk mangsa banjir seperti pakaian, keperluan dapur seperti telur, beras, gula, air mineral dan lain-lain.

Sepanjang kempen kemanusiaan ini berlangsung, sambutan yang diterima sangat baik apabila komuniti Putrajaya tidak putus-putus menyalurkan bantuan untuk dihantar kepada  mangsa banjir.  Semua keperluan dihantar ke Temerloh dan sekitarnya kerana keperluan di pekan-pekan kecil ini agak terhad. 

Barang-barang ini kemudiaanya dipindahkan ke bilik gerakan sementara di pekan Temerloh yang diselia oleh Raja Borhan bersama beberapa lagi sukarelawan daripada Cakna Anak Pahang.
Setakat laporan semalam, di Temerloh sahaja seramai seribu mangsa dilaporkan terjejas dan apa yang membimbangkan adalah gelombang kedua banjir yang boleh berlaku bila-bila masa. Sama-sama kita doakan agar semua mangsa yang terlibat selamat daripada sebarang musibah yang tidak diduga.

Semangat sukarelawan dan semua yang terlibat membantu mangsa banjir di Pahang ini wajar dijadikan contoh dan tauladan buat kita semua. Semoga niat murni mereka ini diberkati Allah SWT.