Thursday 21 May 2015

UMNO Putrajaya Hidupkan Sunnah Nabi




Sebagai umatnya, kita senantiasa mahu menjadikan Rasulullah sebagai uswatun hasanah. Oleh demikian, batu asas untuk mencintai dan dicintai Allah SWT adalah dengan mengikuti sunnah. Sejauh mana seseorang mampu menghidupkan sunnah, maka sejauh itulah ia akan memperoleh kebahagian.

Allah berfirman,”Katakanlah (wahai Muhammad)! Jika kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku, niscaya Allah akan mencintai kalian dan menghapus dosa-dosa kalian.” (Ali Imran : 31)

Rasulullah bersabda: “Tidak beriman seseorang diantara kalian, sehingga hawa nafsunya tunduk mengikuti ajaran yang aku bawa.”

Titik tolak daripada seruan itu, Biro Agama UMNO Bahagian Putrajaya dengan kerjasama SKPP9(1) akan menganjurkan "Malam Cinta Rasul Perdana, Insan Berselawat Insan Penuh Rahmat". Program yang julung kali diwujudkan di peringkat parlimen Putrajaya dengan pengisian khas dan pelbagai aktiviti yang bakal diadakan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dan mendidik generasi muda remaja agar lebih dekat dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Dalam mendepani dunia moden dan tanpa sempadan ini, Biro Agama UMNO Bahagian Putrajaya mengambil cabaran dan inisiatif bagi memastikan sunnah Rasullullah SAW sentiasa dihidupkan dan menjadi ikutan generasi muda, kita percaya ianya tidaklah semudah yang disangka kerana generasi kini lebih berminat dengan teknologi dan mereka percaya apa sahaja boleh diakses melalui internet.

Tetapi bagi Biro Agama UMNO Putrajaya, ianya bukanlah suatu yang mustahil sedangkan Nabi Muhammad SAW adalah seorang pemimpin, pejuang dan insan yang sangat mulia disisi Allah SWT dan mempunyai banyak kelebihan untuk dijadikan idola jika generasi muda kini mengenalinya dengan lebih dekat. Banyak sunnah beliau yang boleh diikuti dan dijadikan panduan dalam kita menjalani kehidupan seharian waqima ketika kita sedang tidur.

Dengan kurang lebih daripada sebulan sahaja lagi sebelum kita menyambut bulan mulia bulan Ramadhan, inilah masa terbaik untuk kita semarakkannya. Bawa keluarga  dan anak-anak ke "Malam Cinta Rasul Perdana, Insan Berselawat Insan Penuh Rahmat" pada 30 Mei ini bermula jam 8.00 pagi. Penampilan istimewa kumpulan Raihan dan Pencetus Ummah Razi.


Namun yang demikian, kita yakin bahawa program ini tidak akan lengkap dan berjaya mencapai matlamatnya tanpa sokongan dan dokongan semua pihak termasuk guru, ibu & bapa seperti kata pepatah ‘Yang bulat tidak datang bergolek, yang piph tidak datang melayang’.

Harapan Biro Agama UMNO Putrajaya dengan usaha murni ini, diharap ianya bakal melahirkan generasi yang disebut sebagai Al-Jama’ah dan mereka ini akan bersatu di atas kebenaran, tidak akan berpecah-belah dalam urusan agama, berkumpul di bawah kepimpinan para Imam yang berpegang kepada Al-Haqq (kebenaran), dan tidak akan keluar daripada jama’ah mereka serta mencapai kesepakatan dalam Salaful Ummah. InsyaAllah.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan pada) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (QS al-Ahzaab:21).

Semoga Allah senantiasa melimpahkan taufik-Nya kepada kita semua untuk selalu berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah SAW sampai di akhir hayat kita, InsyaAllah amin.


Monday 16 February 2015

Sekretariat khas tangani kemelut MIC - Tengku Adnan

Barisan Nasional (BN) mencadangkan satu sekretariat khas yang ditadbir urus oleh parti berkenaan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dalaman MIC.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan itu dicapai hasil pertemuannya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Pejabat Perdana Menteri, pagi tadi.

Bagaimana pun, pada pertemuan itu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel tidak dapat menghadirkan diri atas alasan masalah kesihatan yang dihadapi isterinya dan menghantar wakil iaitu anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC Datuk S Sothinathan.

Tengku Adnan berkata, BN masih menunggu keputusan Palanivel mengenai cadangan penubuhan sekretariat itu memandangkan beliau tidak hadir pada pertemuan itu.

"Kita tidak mahu wakil, kita mahu Presiden MIC (Palanivel) sendiri yang menghadiri pertemuan itu, jadi kita masih tunggu keputusannya" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

-SUMBER

Saturday 14 February 2015

PRK: Kepentingan rakyat lebih utama

Barisan Nasional (BN) akan mendapatkan laporan lengkap daripada Pengerusi Perhubungan BN Pulau Pinang dan Kelantan sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Chempaka.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN tidak perlu mengikut rentak parti lawan yang ghairah bercakap mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri belum mengeluarkan notis mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

"Kita akan tunggu laporan daripada Teng (Chang Yeow) selaku Pengerusi BN Pulau Pinang untuk kerusi Permatang Pauh dan Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi BN Kelantan untuk menyediakan laporan menyeluruh.

"Daripada situ kita akan membuat satu penimbangan apa yang perlu kita lakukan," katanya semasa mengulas berhubung penyertaan BN dalam PRK itu ketika ditemui pemberita selepas melepaskan Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan 2015 sempena Hari Wilayah di hadapan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Mengenai pandangan Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di DUN Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir, Tengku Adnan berkata kenyataan itu menunjukkan BN melihat kepada permasalahan rakyat berbanding soal politik semata-mata.

Tengku Adnan berkata, pandangan itu akan terus dibincangkan antara pimpinan tertinggi BN, walaupun perkara mengenainya telah disentuh pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lepas.

Bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Kerusi DUN Chempaka pula kosong apabila penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Khamis akibat kanser prostat.

Mengenai Kayuhan 1Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, program sempena sambutan Hari Wilayah itu disertai 5,000 peserta dari kalangan penduduk Wilayah Persekutuan yang akan berkayuh secara santai sejauh 30 kilometer mengelilingi Putrajaya.

Tengku Adnan dan rombongan kemudiannya bergerak ke pameran Putrajaya Autoshow yang diadakan di tempat letak kereta di belakang kompleks Istana Kehakiman.

Dalam ucapan ringkas semasa merasmikan pameran yang disertai 3,000 pemilik kenderaan dari kelab-kelab di sekitar Kuala Lumpur beliau meminta peserta, yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda supaya menjadi 'mata dan telinga' kementerian dalam menyalurkan permasalahan yang dihadapi warga kota untuk tindakan penambahbaikan.

- SUMBER