Thursday 30 January 2014

Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat "kick off" Sambutan Hari Wilayah Persekutuan

Bertempat di Masjid Al Iman Ash Shafie Taman Maluri Cheras telah berlangsung Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari ini.

Majlis turut disertai oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Adnan Mad Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Phesal Abdul Talib.
Ketika ditemui, Tengku Adnan berkata sambutan kali ini bersifat sederhana dan sebagai menyahut seruan Perdana Menteri yang mahu semua agensi dan kementerian supaya berjimat cermat. "kita tidak akan adakan pelancaran dan saya sendiri telah mengarahkan kementerian untuk memotong bajet sambutan sebanyak 4 juta ringgit, dan wang itu kita akan belanjakan dengan sedekah kan kepada anak-anak yatim, pusat tahfiz dan ibu tunggal" katanya.

 
Dalam majlis yang sama, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan bernilai sepuluh ribu ringgit kepada Masjid Al Imam Ash Shafie dan bantuan kepada anak-anak yatim seratus ringgit setiap seorang serta Madrasah Al Yamani dan Maahad Tahfiz Darul Ihsan masing-masing menerima lima ribu ringgit.

 
Majlis yang sama turut diadakan semalam di Masjid Putra anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran staff kementerian dan warga Wilayah Persekutuan hampir 200 orang.

 
Semoga majlis ini membawa keberkatan kepada sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini yang bukan sahaja bersifat sederhana malahan turut memberi pengisian rohani.
"Wilayah Persekutuan Ceria"

Thursday 23 January 2014

Kadar Imbuhan Semua Imam, Pembantu Bilal dan Noja Wilayah Persekutuan Naik.



Seramai 789 pegawai-pegawai masjid yang terdiri daripada para Ketua Ketua Imam, Penolong Ketua Imam, Bilal, Imam Ratib, Pembantu Bilal dan Pembantu Noja di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini menerima berita baik selepas kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar imbuhan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta setahun.

Pengumuman yang disampaikan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom dalam Majlis Multaqa' Pegawai-Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana Kuala Lumpur. Beliau berkata selepas berbincang dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan dan mengambil pandangan daripada UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan dan selepas dibentangkan kerajaan meluluskan untuk menaikkan imbuhan Imam, Bilal dan semua Qariah Masjid dan Surau.



Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai masjid dan surau yang telah melaksanakan amanah dan tanggugjawab dengan baik dalam memelihara kesucian agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi, kerajaan yang berpegang kepada konsep Maqasid Syariah sentiasa berpandu kepada dalil Al Quran dan As Sunnah termasuk dalam menjaga keturunan. "Maqasid Syariah yang kita bawa selama ini antaranya adalah menjaga keturunan kita, seperti yang tuan-tuan maklum, sekarang ada 34 ribu guru kafa seluruh negara yang dibayar elaun oleh kerajaan. Guru-guru ini tidak henti-henti mengajar anak-anak kita dan ini salah satu daripada Maqasid Syariah dan agama Islam sangat menekankan perkara ini".

Turut hadir sama YBhg. Dato' Haji Othman b Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan YBhg Dato' Raja Nong Chik Zainal Abidin yang mewakili YB Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, Jamil Khir turut memberitahu dalam memartabatkan hal ehwal agama Islam dari arus kemajuan nasional, kerajaan kini dalam proses mewujudkan Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya.

Monday 13 January 2014

Majlis Pelancaran Program Tahsiin Iqra' Sekolah-Sekolah Menengah Putrajaya

Dalam melahirkan generasi celik Al Quran dalam kalangan generasi Y, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi memandangkan persaingan dunia internet semakin hebat. Anak-anak muda kini lebih cenderung menghabiskan masa berjam-jam lamanya di depan komputer daripada mentelaah Al Quran dan tafsirnya.


kunan mendengar bacaan Al Quran oleh salah seorang peserta Program Tahsiin Al Quran
Di atas kesedaran itu, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor bersama jawatankuasa induk yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan WP Putrajaya Tn Hj Jamaluddin serta Timbalannya Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Tn Hj Nazaruddin Baharudin melancarkan satu Program Tahsiin Iqra' Sekolah-Sekolah Menengah Putrajaya. Program ini dirasmikan oleh kunan yang juga penasihat kepada jawatankuasa induk program.

Dalam ucapan perasmian, kunan mengingatkan tentang kepentingan membaca Al Quran. "tak kira dalam apa jua keadaan sesibuk mana sekalipun kita, kita harus mencari masa untuk membaca dan memahami Al Quran. Dalam keadaan dunia yang serba canggih internet di hujung jari, ia menjadikannya semakin mudah untuk membaca Al Quran".

Sesi bergambar kunan bersama sebahagian pengetua sekolah menengah Putrajaya

Program ini adalah program yang pertama diadakan di negara ini yang melibatkan sekolah-sekolah menengah, menurut Imam Besar Tuan Hj Nazaruddin program membudayakan Al Quran belum diwujudkan di mana-mana tempat selain Putrajaya. "Kita sedang mendekati generasi Y dalam kaedah yang berbeza, kita membudayakan bacaan Al Quran supaya lebih hampir dengan gaya hidup mereka, pendekatan kita untuk membimbing mereka perlu kena dengan jiwa mereka" katanya.

Sebahagian peserta yang terlibat dalam program Tahsiin Al Quran

Tahsiin Iqra yang membawa maksud belajar membaca Al Quran melalui kaedah Iqra' ini dapat membantu pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga 5 terutamanya dalam menguasai ilmu tajwid dan fardhu ain secara praktikal dan lebih berkesan.

Dalam majlis yang sama, kunan menyampaikan sumbangan bagi menjayakan program ini di setiap sekolah menengah dalam Putrajaya. Kesemua 10 buah sekolah yang terlibat menerima sumbangan wang tunai sebanyak satu ribu ringgit antara sekolah yang terlibat adalah SMK Putrajaya 9 (1), SMK 8 (1) dan Sekolah Sultan Alam Shah.
Kunan bersama guru-guru sekolah menengah Putrajaya


Monday 6 January 2014

Sanggupkah Hard Rock Cafe Mengikut Garis Panduan Islam Di Putrajaya?

sidang media di Pejabat Menteri WP turut bersama Tan Sri Aseh dan KSU Dato Adnan Md Ikhsan

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebentar tadi dalam sidang akhbar berkenaan isu pembukaan Hard Rock Cafe di Putrajaya menjelaskan bahawa pembinaan HRC perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Tengku Adnan juga memberitahu Perbadanan Putrajaya mendapat banyak permohonan terutamanya dari jenama dunia seperti taman tema dan lain-lain, tetapi semua permohonan tersebut perlu mengikut garis panduan dan syarat-syarat tertentu.

"Jika pelabur mahu membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya mereka harus patuh kepada peraturan, penjualan minuman keras atau alkohol adalah dilarang sama sekali, sebarang bentuk hiburan mesti bersifat bersih dan tidak keterlaluan serta penjualan merchandise HRC yang sememangnya terkenal. Mungkin Putrajaya boleh menjadi salah satu cawangan Hard Rock Cafe yang pertama di dunia yang bebas alkohol" kata kunan.

Beliau turut menambah jika boleh Hard Rock Cafe yang terkenal dengan 'live music' perlu bertukar ke nyanyian nasyid supaya ia lebih islamik. Undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sebelum ini mesti dipatuhi.

Tambahnya lagi, pada tahun 2000 sebagai contoh 7Eleven membuat permohonan untuk membuka cawangannya di Putrajaya, pihak perbadanan membenarkan tetapi dengan syarat tiada penjualan minuman keras.

Beliau turut melahirkan kekesalannya di atas reaksi segelintir pihak yang terlalu cepat menghukum Tan Sri Aseh dengan mengeluarkan komen dengan kata-kata yang kesat dan mengubah gambar Tan Sri di facebook seperti sedang menari. "Kita terlalu terikut-ikut dengan cara barat dan sama sekali jauh dengan budaya ketimuran yang kita amalkan selama ini" katanya.