Monday 16 February 2015

Sekretariat khas tangani kemelut MIC - Tengku Adnan

Barisan Nasional (BN) mencadangkan satu sekretariat khas yang ditadbir urus oleh parti berkenaan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dalaman MIC.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan itu dicapai hasil pertemuannya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Pejabat Perdana Menteri, pagi tadi.

Bagaimana pun, pada pertemuan itu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel tidak dapat menghadirkan diri atas alasan masalah kesihatan yang dihadapi isterinya dan menghantar wakil iaitu anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC Datuk S Sothinathan.

Tengku Adnan berkata, BN masih menunggu keputusan Palanivel mengenai cadangan penubuhan sekretariat itu memandangkan beliau tidak hadir pada pertemuan itu.

"Kita tidak mahu wakil, kita mahu Presiden MIC (Palanivel) sendiri yang menghadiri pertemuan itu, jadi kita masih tunggu keputusannya" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

-SUMBER

Saturday 14 February 2015

PRK: Kepentingan rakyat lebih utama

Barisan Nasional (BN) akan mendapatkan laporan lengkap daripada Pengerusi Perhubungan BN Pulau Pinang dan Kelantan sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Chempaka.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN tidak perlu mengikut rentak parti lawan yang ghairah bercakap mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri belum mengeluarkan notis mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

"Kita akan tunggu laporan daripada Teng (Chang Yeow) selaku Pengerusi BN Pulau Pinang untuk kerusi Permatang Pauh dan Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi BN Kelantan untuk menyediakan laporan menyeluruh.

"Daripada situ kita akan membuat satu penimbangan apa yang perlu kita lakukan," katanya semasa mengulas berhubung penyertaan BN dalam PRK itu ketika ditemui pemberita selepas melepaskan Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan 2015 sempena Hari Wilayah di hadapan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Mengenai pandangan Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di DUN Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir, Tengku Adnan berkata kenyataan itu menunjukkan BN melihat kepada permasalahan rakyat berbanding soal politik semata-mata.

Tengku Adnan berkata, pandangan itu akan terus dibincangkan antara pimpinan tertinggi BN, walaupun perkara mengenainya telah disentuh pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lepas.

Bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Kerusi DUN Chempaka pula kosong apabila penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Khamis akibat kanser prostat.

Mengenai Kayuhan 1Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, program sempena sambutan Hari Wilayah itu disertai 5,000 peserta dari kalangan penduduk Wilayah Persekutuan yang akan berkayuh secara santai sejauh 30 kilometer mengelilingi Putrajaya.

Tengku Adnan dan rombongan kemudiannya bergerak ke pameran Putrajaya Autoshow yang diadakan di tempat letak kereta di belakang kompleks Istana Kehakiman.

Dalam ucapan ringkas semasa merasmikan pameran yang disertai 3,000 pemilik kenderaan dari kelab-kelab di sekitar Kuala Lumpur beliau meminta peserta, yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda supaya menjadi 'mata dan telinga' kementerian dalam menyalurkan permasalahan yang dihadapi warga kota untuk tindakan penambahbaikan.

- SUMBER