Tuesday 8 July 2014

NGO BERSETUJU UNTUK BEKERJASAMA MENANGANI MASALAH GELANDANGAN DAN PENGEMIS DI KUALA LUMPUR


KENYATAAN MEDIA OLEH YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

Satu mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dengan semua NGO yang terlibat dengan aktiviti ‘Soup Kitchen’ pada hari ini. Mesyuarat telah membincangkan isu-isu berkaitan golongan gelandangan dan pengemis di Kuala Lumpur. Sebanyak 12 NGO yang melaksanakan aktiviti ‘Soup Kitchen’ termasuk NGO-NGO yang berminat untuk membantu kementerian dalam isu ini telah menghadiri mesyuarat tersebut. Mesyuarat telah memutuskan bahawa:

Supaya kerajaan membanteras habis-habisan aktiviti sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah di kawasan ibukota.

Mengenai isu gelandangan, semua NGO yang menghadiri mesyuarat tersebut bersetuju untuk membantu dan akan bekerjasama dengan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu gelandangan dan pengemis. 

Memperbetulkan persepsi bahawa kerajaan tidak membenarkan langsung NGO-NGO memberi makanan kepada golongan gelandangan. NGO-NGO tersebut masih boleh meneruskan agihan makanan kepada golongan gelandangan cuma tidak dibenarkan dalam kawasan 2 km radius di ibu kota. Bagi yang mempunyai premis yang sesuai seperti di rumah-rumah ibadat dan di dalam bangunan sendiri, adalah dibenarkan walaupun dalam lingkungan 2 km radius. NGO-NGO ini disarankan beroperasi seperti konsep Anjung Singgah.

Bersetuju dengan cadangan permohonan NGO-NGO terlibat untuk melanjutkan tempoh memberi makan kepada golongan gelandangan di dalam kawasan ibukota selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.  Dalam hal ini kementerian menetapkan tarikh penguatkuasaan baru adalah pada 16 Ogos 2014. 

Satu sesi town hall bersama golongan gelandangan dan pengemis akan diadakan dalam waktu terdekat untuk mendengar keluhan mereka dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Bekerjasama rapat dengan semua NGO-NGO yang terlibat dan menjadikan mereka sebagai program partners  bagi membantu golongan gelandangan.

Mengenalpasti beberapa premis sedia ada yang digunakan oleh NGO-NGO terlibat untuk dijadikan sebagai premis angkat yang berkonsepkan ‘Anjung Singgah’ kepada golongan gelandangan.

Bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO berkaitan untuk memperincikan proses pengedaran makanan kepada golongan gelandangan dan mencari jalan terbaik bagi membantu golongan tersebut.

Mesyuarat yang diadakan pada hari ini telah mencapai satu kata sepakat antara kementerian, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO terlibat untuk bersama-sama merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu gelandangan dan pengemis di Kuala Lumpur yang telah berlanjutan sekian lama.

Sekian, terima kasih.


TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Menteri Wilayah Persekutuan
4 Julai 2014

Saturday 5 July 2014

Saya juga ada menaja Soup Kitchen - Tengku Adnan

"Saya benarkan mereka (NGO) untuk datang membantu, kita juga telah merancang untuk membangunkan bangunan khusus untuk gelandangan yang lebih selesa dengan ada kemudahan kesihatan dan sebagainya. Kita telah mengenalpasti kawasan dan rumah kedai di lorong haji taib untuk kita bangunkan dengan cara lebih selesa." Tengku Adnan berkata demikian ketika ditanya adakah beliau tidak menghargai peranan NGO yang membantu kumpulan gelandangan ini malah beliau juga tidak pernah menghalang NGO yang membantu kumpulan ini. Tengku Adnan juga berkata apabila One Stop Center wujud kelak ia akan lebih selesa dengan pelbagai kemudahan lain yang lebih lengkap. 

Tambahnya, beliau cuma tidak berapa gemar apabila ada kumpulan yang membantu dengan memberi makanan dengan bungkusan kerana itu akan menyebabkan sampah sarap dan mengundang kekotoran di kawasan terbabit. "Saya tak berapa minat bila mereka ini bagi makanan melalui bungkusan dan sebagainya kerana ini mengotorkan, tapi kalau soup kitchen yang biasa ini tak ada masalah, mereka boleh beroperasi seperti biasa di kawasan yang akan kita putuskan bersama nanti" katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa selama ini beliau turut menaja sebuah badan NGO yang memberi makanan kepada kumpulan homeless ini, "saya sendiri pun ada operate soup kitchen di Jalan Imbi, sampai sekarang masih lagi beroperasi, saya bantu dengan memberi beras dan keperluan asas hampir setiap bulan" kata beliau.



Dalam pada itu, Tengku Adnan hadir untuk berbuka puasa dan menyampaikan bantuan keperluan asas dan wang tunai kepada 500 penerima Parlimen Wangsa Maju yang berlangsung di Masjid Al Mutaqqin Wangsa Melati.

Thursday 3 July 2014

PELAKSANAAN ZON SIFAR GELANDANGAN: MEMPERBETULKAN PERSEPSI MASYARAKAT

Persoalan dan kekeliruan berkenaan dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan zon bebas gelandangan telah di salah erti oleh pelbagai pihak. Untuk makluman, Menteri Wilayah Persekutuan tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk menghalang mana-mana NGO atau badan bukan kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja amal dan membantu golongan homeless di Ibukota.



Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan pendirian untuk melaksanakan zon bebas gelandangan dan pengemis selepas mesyuarat bersama agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora Sdn. Bhd. dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan pada 30/6/2014. Untuk makluman, kebersihan adalah salah satu taskforce Kementerian Wilayah Persekutuan dan laporan kebersihan adalah dipantau secara terus oleh Yang Berhormat Menteri sendiri. 

Berdasarkan laporan oleh agensi, masalah kebersihan di Kuala Lumpur salah satu faktor yang telah menyumbang khususnya di kawasan tumpuan pelancong adalah kumpulan gelandangan. Ini kerana tabiat gelandangan yang suka membuang sampah serta tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, selain itu kumpulan pengemis pula kebanyakan meminta sedekah di hadapan kompleks perniagaan, seperti Pavillion, KLCC, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Kedua-dua faktor ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai perkara lain seperti masalah sosial, keselamatan, menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan yang kurang elok apabila dilihat oleh pelancong.

Dalam pada itu, kajian terhadap golongan ini juga telah dilakukan secara menyeluruh dan mendapati kumpulan gelandangan ini berpunca daripada; 

1. Tiada pekerjaan;
2. Miskin;
3. Masalah Mental/kemurungan,/penyakit melarat;
4. Warga asing tiada pekerjaan; 
5. Ketidakupayaan mengurus diri; 
6. Ditinggalkan keluarga serta penagihan dadah/arak/bekas banduan;
7. Warga Emas

Selain itu, mesyuarat juga telah mengenal pasti kawasan "hot spot" yang sentiasa menjadi tumpuan kumpulan ini antaranya;

1. Mydin Kotaraya;
2. Masjid Negara;
3. Central Market;
4. Menara Maybank;
5. Jalan Tuanku Abdul Rahman;
6. Jalan Masjid India;
7. Jalan Tiong Nam (Chow Kit);
8. Jalan Silang;
9. Masjid Jamek;
10. Bank Negara;
11. Bulatan Sultan Mohamad;
12. Dataran Merdeka.

Kesimpulannya Menteri Wilayah Persekutuan tidak membuat keputusan tanpa usul periksa dan mengenal pasti masalah sebenar sebelum cadangan zon bebas gelandangan dikemukakan. Mesyuarat juga peka dengan kewujudan 12 NGO yang aktif memberi makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti: 

1. Pasar Seni;
2. Dataran Kota Raya;
3. Stesen Bas Klang
4. Masjid India;
5. Masjid Negara;
6. Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee;
7. Kota Raya;
8. Pudu Sentral;
9. Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini. Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.

Mewujudkan “Once Stop Centre” Kepada Golongan Gelandangan

KWP bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mengambil pendekatan tanpa mengambil kira jalan penyelesaian yang sepatutnya. Oleh yang demikian, KWP bersama DBKL telah mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunan seperti konsep “Anjung Singgah” yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti:

1. Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut;

2. Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;

3. Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini;

4. Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya;

5. Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri.

Berikut adalah kumpulan NGO yang dikenal pasti aktif membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur:

Gosm (The Gospal Of Salvation Mission Society);
Precious Children Home;
Kecana Soup Kitchen;
Pj Caring Home;
Kenosis Home;
KL Urban Fellowship;
Reach Org. Sdn. Bhd.
Nineteen O One Sdn. Bhd.
Yayasan Kebajikan Negara;
Archdiocesan Office For Human Development (Aohd);
Grace Community Service;
Community Excel Service

Berikutan itu, tiada sebarang persoalan yang timbul mengatakan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menghentikan atau menghalang mana-mana pihak serta NGO untuk terus menderma dan melakukan kerja-kerja amal seperti kebiasaaan. Cuma kaedah dan lokasi yang tidak sesuai perlu diambil kira. Ini bagi mengelakkan sebarang permasalahan akan datang timbul seperti keracunan makanan akibat kekotoran, kencing tikus, masalah kebersihan yang berlarutan, kecacatan pemandangan kawasan tumpuan pelancong dan sebagainya. Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak, dan kerajaan tidak sewenangnya meletakkan ketetapan seperti berikut dan ianya selepas mendapat persetujuan serta perbincangan agensi berkaitan.