Saturday 30 November 2013

Tolong Berhenti Memburukkan Ustaz Kazim Elias

Tengku Adnan bergambar bersama penerima bantuan persekolahan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya bersama Isteri serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan En Roslan Hassan ketika menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak di Dewan Serbaguna Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Seramai 610 penerima bantuan yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah dan menengah di Putrajaya. Bantuan berupa beg sekolah dan wang tunai sebanyak RM100. Selain itu, kunan turut memberitahu bahawa bantuan ini hanyalah untuk membantu meringankan bebanan memandangkan ada di kalangan rakyat yang mengalami kekangan sara hidup, bantuan daripada Kementerian Pelajaran tetap akan diberikan seperti biasa. "Bantuan daripada Kementerian Pelajaran untuk pelajar darjah 1 hingga 6 masih lagi diteruskan, hari ini kita bantu sedikit sahaja beg sekolah dan sedikti wang untuk ibu bapa beli keperluan sekolah anak-anak" katanya. 

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sekarang, tidak seperti di negara lain rakyatnya hidup melarat, anak-anak tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Kunan turut menekankan tentang tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak, beliau mahu ibu bapa juga turut memainkan peranan dan tidak hanya melepaskan kepada guru-guru di sekolah sahaja. "Anak-anak ini yang akan mencorakkan masa depan negara, mereka ibarat kain putih yang bersih, jika salah didikan maka hancur la masa depan negara kita ini" katanya.


Dalam pada itu, program bantuan ini telah menjelajah ke seluruh bahagian dalam Wilayah Persekutuan dan Putrajaya adalah yang ke tujuh dari 13 bahagian dalam Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Wilayah Persekutuan menasihatkan agar pihak berkenaan menghentikan tomahan kepada Ustaz Kazim Ellias yang dilantik menganggotai Majlis Tertinggi UMNO yang diumumkan semalam.

Beliau memberitahu bahawa perlantikan Ustaz Kazim Ellias bukan kerana Ustaz mahukan pangkat atau nama, tetapi ini adalah pilihan Presiden UMNO yang mahu melakukan transformasi untuk parti, lebih banyak cendiakawan dan tokoh agama yang dibawa masuk supaya dapat memperkasakan parti sekaligus memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara. " Sebenarnya UMNO adalah sebuah parti Islam yang terbesar kalau dikira dengan jumlah keahlian yang kita ada sekarang, kita bukan sahaja ada tokoh agamawan, tetapi ada juga tokoh korporat seperti Datuk Johari dan Datuk Raja Nong Chik, Prof Ibrahim Abu Shah pakar dalam bidang pendidikan, ini semua untuk memberi input baru kepada parti seiring dengan keperluan sekarang".

Thursday 28 November 2013

Jalan Segambut dibuka kepada orang awam



KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Sebahagian Jalan Segambut di sini yang dinaik taraf sudah dibuka untuk pengguna jalan raya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini berikutan siapnya Seksyen A projek itu melibatkan laluan sepanjang 1.4 kilometer dengan kemudahan empat lorong dua hala serta jejambat sepanjang 182.5 meter berhampiran persimpangan SPPK Segambut.

"Laluan ini juga akan memberi kemudahan kepada pengguna menuju ke Mont Kiara dan saya berharap ia sedikit sebanyak dapat memperbaiki dan menyelaraskan laluan trafik dari kawasan ini ke kawasan bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan itu di sini Khamis.

Tengku Adnan berkata kos pembinaan keseluruhan jalan itu berjumlah RM48 juta merangkumi kos pembinaan jejambat, jejantas pejalan kaki, jalan dan parit induk, selain kos pengalihan utiliti.

Terdahulu Tengku Adnan dalam ucapannya berkata mengikut perancangan asal, kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membina keseluruhan Jalan Segambut dari jambatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Segambut ke Jalan Mont Kiara sepanjang 4 kilometer dengan anggaran kos RM165 juta pada 2009.

Bagaimanapun, peruntukan kewangan yang disediakan kerajaan pusat amat terhad menyebabkan projek naik taraf itu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Tengku Adnan berkata kementerian dan DBKL bersetuju akan menggunakan sejumlah RM77 juta sumber kewangan DBKL bagi meneruskan projek sambungan Seksyen A Tambahan yang dijangka bermula awal tahun depan sebagai usaha memastikan masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan.

Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan berkata pihak Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) juga akan membina dua jajaran tambahan dikenali Duke 2, yang antara lain akan menyambungkan susur masuk dan keluar dari lebuhraya itu ke Jalan Segambut tanpa melalui laluan berbayar.

Katanya projek pembinaan yang menelan belanja RM2 bilion itu akan diselenggara sepenuhnya syarikat konsesi tersebut dan dijangka siap menjelang 2016.

-- BERNAMA

Sunday 24 November 2013

Kuala Lumpur Kota Tikus?


Kementerian Wilayah Persekutuan memandang serius mengenai isu kebersihan di bandar Kuala Lumpur. Ini kerana ianya merupakan sebahagian daripada imej Wilayah Persekutuan. Sebagai sebuah ibu negara, seharusnya Kuala Lumpur menjadi role model kepada bandar-bandar lain dalam aspek kebersihan, keindahan dan lebih teratur. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini nama baik Bandar raya Kuala Lumpur telah dijejaskan dengan tuduhan seperti "kota tikus" dan "bandar sampah".

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil langkah drastik dalam menangani isu kebersihan dengan menubuhkan Jawatankuasa Taskforce kebersihan. Taskforce ini diketuai sendiri oleh YBhg Datuk KSU KWP dan dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian, DBKL egensi-agensi kerajaan lain, NGO serta pihak swasta.


Taskforce ini telah diarahkan untuk melaporkan terus kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam usaha menyelaras program dan aktiviti membanteras maslah kekotoran sekaligus meningkatkan tahap kebersihan dan keindahan kawasan di Wilayah Persekutuan.


Namun begitu, Jawatankuasa ini telah mengenal pasti bahawa antara punca kegagalan program ini dilaksanakan disebabkan oleh tahap kesedaran di kalangan masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan penjagaan kebersihan. Antara masalah yang dikesan ialah penjaja yang mengambil sikap endah tak endah dengan membuang sisa pepejal dan sampah sarap ke dalam saluran longkang. Ada juga kalangan masyarakat yang tidak ada sifat tanggungjawab dengan membuang sampah di merata-rata tempat, walhal kerajaan melalui DBKL sudah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan tong sampah di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Kempen kebersihan ini adalah sebagai permulaan dalam usaha kerajaan mencatikkan semula bandaraya Kuala Lumpur, oleh itu sepanjang kempen ini melalui DBKL projek pengindahan kawasan sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman akan dicat semula kerana bangunan sekarang dilihat usang dan tidak menarik. Selain itu, DBKL juga akan mengenal pasti premis usang dan akan mengemukakan notis makluman kepada pemilik premis untuk persetujuan dan seterusnya mengcat semula bangunan tersebut.


Pelaksanaan kempen ini diharapkan dapat membantu mewujudkan masyarakat Wilayah Persekutuan yang mempunyai nilai cintakan keindahan alam sekitar dan sikap yang suka menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal, tempat bekerja atau berniaga bagi mencapai pembangunan mampan.

Majlis Khatan Perdana Parlimen Putrajaya


Berdasarkan hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan lain-lain bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang tergolong dalam fitrah iaitu berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai." Berdasarakan hadis tersebut, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya hari ini berjaya mengumpulkan 150 kanak-kanak dalam Majlis Berkhatan Perdanan Parlimen Putrajaya.

Majlis yang diadakan bersempena dengan musim cuti sekolah ini mendapat sambutan yang amat menggalakan. Ini bukanlah kali pertama majlis seumpama ini dilaksanakan, malah setiap tahun Tengku Adnan Tengku Mansor tidak melepaskan peluang meraikan anak-anak Putrajaya dalam majlis khatan perdana seperti tahun ini.

Bertempat di Pusat Kejiranan Presint 11, majlis turut disertai oleh Ketua Pemuda UMNO Putrajaya Saudara Ahmad Faisal Abdul Karim serta AJK Pemuda Bahagian dan rakan-rakan Pemuda & Puteri UMNO Putrajaya. Kehadiran orang ramai serta komuniti Putrajaya memeriahkan lagi Majlis Khatan Perdana ini.


Terima kasih kepada warga Putrajaya yang sama-sama membantu menjayakan Program Khatan Perdana ini, sesungguhnya kita sebagai umat Islam mendapat hikmah yang amat besar dalam melaksanakan tuntutan syarak & hukum Allah SWT.







Thursday 21 November 2013

Tiada kenaikan cukai, hanya nilai hartanah yang meningkat.


Menteri Wilayah Persekutuan hari ini membidas segelintir pihak yang cuba memutar belitkan fakta berkaitan isu kenaikan cukai pintu. Beliau ditemui ketika mesyuarat bersama ahli parlimen wilayah persekutuan di Menara DBKL tengahari tadi. Antara yang turut hadir, YB Datuk Johari Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Nurul Izzah Lembah Pantai dan YB Terresa Kok Parlimen Seputeh.

'Tiada kenaikan cukai seperti yang disebut oleh sesetengah pihak, DBKL hanya menaikkan nilai hartanah, itupun selepas 21 tahun'. Tambahnya lagi, kenaikan tersebut tidak akan menjejaskan rakyat di ibu kota kerana kajian menyeluruh akan dilakukan dan memastikan rakyat tidak terbeban dengan perkara ini.  Walaubagaimanapun, keputusan tersebut hanya akan di buat selepas mendengar dan mempertimbangkan bantahan daripada rakyat. Sebagai sebuah kerajaan yang adil, Tengku Adnan berjanji bahawa rakyat akan sentiasa diutamakan dan kerajaan tidak membelakangi rakyat.

Apabila berlaku kenaikan nilai hartanah ini. Ia akan memberi keuntungan kepada pemilik tanah atau pemilik kediaman apabila mereka memajak aset tersebut di bank untuk permohonan pinjaman atau sebaliknya kerana nilai pulangan tanah tersebut adalah tinggi.

Selain itu, kunan turut memaklumkan dengan pulangan yang DBKL dapat sejumlah RM400 juta itu nanti, duit tersebut akan disalurkan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan untuk warga ibu kota. 'Kita tidak boleh hanya mengharapkan dana dari kerajaan persekutuan sahaja, sebagai kerajaan tempatan, DBKL perlu mencari dana sendiri sebagai contoh pembaikan jalan di Dang Wangi, DBKL tidak boleh tunggu kerana ia melibatkan kemudahan awam tambahan pula di Kota Kuala Lumpur'.

Setakat ini, sebanyak 2,500 laporan bantahan telah diterima, pihak DBKL tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat bantahan dan bantahan boleh dibuat sebelum 17 Disember ini

Tuesday 19 November 2013

YB Menteri Wilayah Persekutuan Prihatin Atasi Isu Taska di Putrajaya

Bertempat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah berlangsung satu perjumpaan khas yang diadakan khusus bagi membincangkan perkara yang berbangkit berkaitan isu taska di Putrajaya.



Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Menteri KPWKM Datuk Rohani Abdul Karim dan wakil dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya yang turut dihadiri oleh Isteri YB Menteri KWP Datin Seri Anggriani Sentiyaki, Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan, Pengerusi Persatuan Taska Putrajaya dan para pegawai lain.

Mesyuarat khas ini diadakan selepas YB Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melihat isu taska yang melibatkan kematian, kes penderaan dan kecederaan di kalangan kanak-kanak di pusat asuhan adalah amat serius dan perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah ini.


Antara perkara yang dibincangkan termasuklah perancangan KWP dan KPWKM dalam mengenal pasti tanah kosong di sekitar Putrajaya untuk penubuhan Taska. Selain itu, keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan boleh terjamin jika taska berada dalam kementerian selain memudahkan penjaga menghantar anak-anak ke taska, oleh itu KPWKM telahpun mengenal pasti Kementerian atau jabatan yang masih belum mempunyai taska dan mahu penyusunan semula pejabat untuk mendapatkan ruang bagi penubuhan taska.

Bagi pihak Kementerian Wilayah Persekutan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pemantauan dari masa ke semasa sentiasa dilakukan bagi memastikan taska tidak melanggar peraturan dan isu keselamatan kanak-kanak ini adalah isu yang sangat serius.

Perjumpaan ini adalah satu permulaan dalam misi YB Menteri Wilayah Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan serta dapat meningkatkan kualiti hidup warga Putrajaya khususnya dengan lebih baik.