Thursday 28 November 2013

Jalan Segambut dibuka kepada orang awam



KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Sebahagian Jalan Segambut di sini yang dinaik taraf sudah dibuka untuk pengguna jalan raya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini berikutan siapnya Seksyen A projek itu melibatkan laluan sepanjang 1.4 kilometer dengan kemudahan empat lorong dua hala serta jejambat sepanjang 182.5 meter berhampiran persimpangan SPPK Segambut.

"Laluan ini juga akan memberi kemudahan kepada pengguna menuju ke Mont Kiara dan saya berharap ia sedikit sebanyak dapat memperbaiki dan menyelaraskan laluan trafik dari kawasan ini ke kawasan bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan itu di sini Khamis.

Tengku Adnan berkata kos pembinaan keseluruhan jalan itu berjumlah RM48 juta merangkumi kos pembinaan jejambat, jejantas pejalan kaki, jalan dan parit induk, selain kos pengalihan utiliti.

Terdahulu Tengku Adnan dalam ucapannya berkata mengikut perancangan asal, kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membina keseluruhan Jalan Segambut dari jambatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Segambut ke Jalan Mont Kiara sepanjang 4 kilometer dengan anggaran kos RM165 juta pada 2009.

Bagaimanapun, peruntukan kewangan yang disediakan kerajaan pusat amat terhad menyebabkan projek naik taraf itu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Tengku Adnan berkata kementerian dan DBKL bersetuju akan menggunakan sejumlah RM77 juta sumber kewangan DBKL bagi meneruskan projek sambungan Seksyen A Tambahan yang dijangka bermula awal tahun depan sebagai usaha memastikan masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan.

Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan berkata pihak Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) juga akan membina dua jajaran tambahan dikenali Duke 2, yang antara lain akan menyambungkan susur masuk dan keluar dari lebuhraya itu ke Jalan Segambut tanpa melalui laluan berbayar.

Katanya projek pembinaan yang menelan belanja RM2 bilion itu akan diselenggara sepenuhnya syarikat konsesi tersebut dan dijangka siap menjelang 2016.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Akaun ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang disiarkan melalui laman blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.