Monday 30 December 2013

Raikan 2014 Dengan Syukuri Nikmat Kesejahteraan, Buang Niat Guling Kerajaan

KUALA LUMPUR, 31 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas tindakan segelintir pihak yang berniat untuk menggulingkan kerajaan walhal kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) hari ini sentiasa mengutamakan rakyat dan memelihara kesejahteraan.

Katanya, niat sedemikian adalah terpesong dengan mentaliti sebagai seorang yang berfikiran matang dan waras apatah lagi tindakan menggulingkan kerajaan hanya akan membantutkan matlamat negara untuk menuju negara maju pada tahun 2020 kelak.

“Dalam suasana kita berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera menjelang tahun baru 2014, mengapa perlunya kita sebarkan hasutan sedemikian kepada rakyat keseluruhan?” soal beliau kepada UMNO-Online hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melihat tindakan tersebut adalah tidak wajar apatah lagi menjadikan Ibu Kota sebagai medan untuk berdemonstrasi sedangkan realitinya lokasi terbabit menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa termasuklah pelancong asing untuk bersama-sama meraikan ambang tahun baru.

“Tak perlulah kita terpengaruh dengan agenda segelintir pihak yang kononnya mahukan perubahan melalui himpunan jalanan walhal ia tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana nilai perpaduan dan semangat kekitaan telah tertanam pada semua warganegara tanpa mengira agama, bangsa dan adat budaya masing-masing,” katanya.

Jelasnya, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) telahpun melakukan perubahan melalui transformasi yang dilaksanakan tanpa sebarang agenda negatif sebaliknya rakyat mendapat manfaat.

“Kita telah melalui usia lebih 56 tahun sejak kemerdekaan dengan kesinambungan sebuah kerajaan yang diterajui BN, membantu rakyatnya keluar dari kemiskinan, bawa negara kepada kemajuan dan pembangunan yang kita hari ini dapat rasai sendiri nikmatnya, jadi mengapa kita mesti rosakkan apa yang telah kita bina selama ini.”

Katanya, sewajarnya peralihan tahun akan menjadi satu transformasi untuk memastikan bukan hanya diri sendiri atau keluarga dan rakan-rakan sebaliknya bersama-sama menyokong kerajaan dalam sebuah masyarakat untuk kecemerlangan negara pada masa hadapan.

“Kita tidak pernah endah dengan provikasi, manipulasi dan tohmahan negatif segelintir pihak yang sememangnya mahu melihat kita melatah dan melakukan kesilapan.

“Sebagai sebuah kerajaan kita juga sedar malah Perdana Menteri sendiri telah akui bahawa BN bukanlah kerajaan yang sempurna, ada berbuat silap tetapi kita mahu membetulkan keadaan dan menambahbaik mana-mana yang kurang malah bersedia menerima teguran namun bukanlah melalui himpunan jalanan,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat membuat penilaian sewajarnya supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan pemimpin terbabit sebaliknya menyambut kehadiran tahun baru 2014 dengan penuh kesyukuran. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment

Akaun ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang disiarkan melalui laman blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.