Monday, 8 July 2013

Sumbangan Buat Mangsa Kebakaran Kampung Padang Balang

Petang tadi bertempat di Tingkat 6 Pejabat Menteri DBKL berlangsung Majlis Penyerahan Bantuan Kebakaran Mangsa Kampung Padang Balang.

Kesemua mangsa yang melibatkan 4 buah keluarga ini menerima bantuan dari pihak Yayasan Wilayah Persekutuan dan DBKL sendiri.

Dalam pada itu, YB menteri turut menyatakan kekesalan beliau di atas apa yang berlaku dan bersimpati kepada semua mangsa yang terlibat.

Tambahnya lagi, beliau berharap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu meringankan sedikit beban mangsa serta dapat menaikkan moral untuk menempuhi hari-hari yang mendatang.

Thursday, 4 July 2013

Majlis Sepetang Pemimpin Bersama Veteran ATM

Terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan yang telah berjaya mengatur dan memberi ruang untuk saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan berjumpa dengan veteran ATM di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpru ini.

Kerajaan sentiasa menghargai jasa pengorbanan veteran ATM yang banyak berkorban masa dan tenaga demi keselamatan negara. Pelbagai aspek diambil perhatian oleh kerajaan untuk membantu veteran ATM yang memerlukan bantuan. Walaupun dari aspek jumlahnya mungkin kecil, namun kita harus bersyukur dengan apa yang kerajaan telah sediakan. kita yakin kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kemudahan yang sebaiknya dan wajar untuk veteran ATM. Tanpa pengorbanan tuan-tuan sebagai anggota tentera suatu ketika dulu, belum tentu kita dapat berada di sini pada petang ini dengan aman.
 

Banyak inisiatif yang kerajaan telah lakukan buat veteran ATM termasuklah, Program Penempatan Kerja untuk Veteran, Program Bimbingan Usahawan Veteran, Program Meningkatkan Penerimaan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) oleh industri, Kad Privilege 1Malaysia, Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia, Program Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia serta Program Membaikpulih dan Membina Rumah Veteran 1Malaysia.

Tahniah saya ucapkan kepada 163 orang penerima Pingat Jasa Malaysia dan 43 Persatuan yang menerima Agihan Kutipan Rayuan Hari Pahlawan 2012. Akhir kata, terima kasih dan tahniah kepada semua yang telah menjayakan program ini.


Jangan Terpedaya dengan Polemik dan Permainan Agama PAS

YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dalam tazkirah ringkas beliau di Masjid Jamek Kg Baru Kuala Lumpur berkata PAS menggunakan ulamak agama untuk memesongkan akidah umat islam. Sebagai contoh katanya, ketika masa berkempen di Putrajaya PAS melalui ceramah Ustaz Azhar Idrus telah mengeluarkan hukum mengundi UMNO masuk neraka dan undi PAS masuk syurga. Perkara ini perlu kita anggap serius kerana pengaruh seperti ini akan merosakkan minda dan akidah masyarakat terutamanya anak-anak muda.

Tambahnya lagi, pakatan rakyat sentiasa memainkan emosi dan cuba mengelirukan rakyat seperti kes yang berlaku sekarang. Pakatan rakyat tidak boleh menerima kekalahan dan cuba mengalihkan perhatian dengan mengatakan SPR tipu. Pembangkang melaungkan mengenai undi popular yang mereka sendiri tahu bahawa sistem pilihanraya yang diamalkan di Malaysia adalah melalui majoriti kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk membentuk kerajaan yang sah. Isu yang dimainkan akan membangkitkan emosi rakyat, dan rakyat perlu kaji supaya tidak mudah tertipu dengan agenda jahat pembangkang. "Kita perlu bersatu dalam kepelbagaian untuk membentuk sebuah negara yang maju dan aman", kata Ku Nan.


Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan untuk Program Ihya' Ramadhan di Masjid Jamek Kampung Bharu semalam. Sumbangan yang melibatkan 8 surau, 2 NGO serta Masjid Jamek itu berjumlah RM101,000.00. Antara yang turut hadir adalah Datuk Astaman bin Abdul Aziz Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu dan Dato' Adnan Bin Hj. Md Ikhsan Ketua S/U KWP.



Mengakhiri ucapan beliau, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu semua pihak bekerjasama dalam membangunkan Kampung Bharu. Beliau mahu Kampung Bharu berkembang pesat dan akan menjadi ikon kepada negara satu masa nanti. "Pembangunan Kampung Bharu ini bakal menyatukan orang melayu yang akhirnya kita sendiri boleh banggakan" katanya.