Wednesday 31 July 2013

Majlis Iftar Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bertempat di Masjid Mu'adz Bin Jabal Setiawangsa telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Ihya' Ramadhan Peringkat Wilayah Persekutuan. Majlis yang turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia serta diiringi oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis yang meraikan lebih daripada 2 ribu penerima bantuan ihya' ramadhan itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran warga kota yang mengambil kesempatan berbuka puasa bersama pemimpin tertinggi negara.


Dalam ucapan ringkas YAB Perdana Menteri Malaysia, beliau mahu kepimpinan UMNO terutamnya di kawasan bandar perlu lebih keras dalam mendekati masalah rakyat di kawasan bandar. "Kita sedar, berdasarkan trend daripada keputusan pilihanraya lepas, Barisan Nasional lebih menyerlah di kawasan luar bandar, pengundi di kawasan bandar agak cendurung kepada pihak lain, untuk itu UMNO di kawasan bandar perlu mencari jalan dalam usaha menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti utama pilihan rakyat" kata beliau.

Dalam pada itu, YB Menteri Wilayah Persekutuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi di kawasan Setiawangsa yang memilih Barisan Nasional sebagai parti yang mewakili mereka. "Anda semua telah memilih kerajaan yang betul, memilih sebuah parti yang mempunyai masa depan untuk meneraju negara dan membela rakyat" kata Tengku Adnan.

Sebelum berbuka puasa, YAB Perdana Menteri diiringi oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan bernilai RM 500,000.00 kepada Masjid Mu'adz Al Jabal serta sumbangan khas kepada ibu tunggal, anak-anak yatim dan individu yang tidak berkemampuan sekitar parlimen Setiawangsa.








Tuesday 30 July 2013

Majlis Penyampaian Insentif SUKMA XVI KL 2013 & Iftar Bersama Atlit Sukan Wilayah Persekutuan

 
 
YB Menteri Wilayah Persekutuan bersama-sama dengan para atlit dan persatuan sukan Wilayah Persekutuan hari ini berbuka puasa di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya.










Majlis yang turut meraikan para atlit yang berjuang di SUKMA baru-baru ini serta penyampaian Insentif khas kepada atlit dan persatuan sukan yang berjaya memenangi pingat di temasya sukan beprestij negara itu. Penyerahan Insentif ini bertujuan memberi penghargaan disamping meningkatkan lagi motivasi supaya kejayaan yang telah mereka capai pada SUKMA 2013 dapat diteruskan dengan lebih cemerlang pada temasya akan datang. Untuk itu, MSWP telah memperuntukkam sebanyak RM 456,400.00 kepada atlit, jurulatih dan pengurus pasukan.

Penyampaian Insentif Kontinjen Wilayah Persekutuan pada kali ini melibatkan seramai 196 atlit, dengan pecahan 88 atlet lelaki dan 108 atlet wanita serta melibatkan 8 pengurus dan 13 jurulatih dengan jumlah keseluruhan seramai 217 orang.

Menutup ucapan ringkas YB Menteri, beliau berharap agar kontinjen Wilayah Persekutuan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan semoga Kontinjen Wilayah Persekutuan mendapat kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang.






Mangsa Kebakaran Kampung Pasir Baru Mendapat Pembelaan

KUALA LUMPUR: Nasib enam sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Pasir Baru, Pantai Dalam di sini semalam mendapat pembelaan. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menawarkan rumah sewa menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Jalil dan Taman Muhibbah, Puchong di samping menghulurkan bantuan RM300 untuk setiap keluarga. 

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Aziz, berkata bagaimanapun mereka belum membuat keputusan walaupun surat tawaran bagi menduduki PPR Bukit Jalil sudahpun siap untuk mereka berpindah. 

"Kita berharap kesemua mangsa akan dapat berpindah segera kerana kawasan perumahan setinggan ini sebenarnya adalah tanah rizab yang mana ia akan dipagarkan selepas dibersihkan," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata demikian selepas melawat kesemua mangsa dan meninjau lokasi kebakaran bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut menghulurkan bantuan peribadi RM500 untuk setiap keluarga. 






Dalam pada itu, Tengku Adnan memberitahu media, pihaknya bersama DBKL akan turut membantu mencari tapak perniagaan bagi mangsa yang berniaga kecil-kecilan selain membantu proses pemindahan kesemua mangsa ke rumah sewa yang ditawarkan. 

Kejadian kebakaran yang berlaku jam 8 pagi semalam melibatkan 35 penghuni yang menduduki perumahan setinggan itu sejak 30 tahun lalu. Sementara itu, mangsa Heriah Mat Nasir, 67 tahun, yang tinggal sementara di Dewan Rukun Tetangga kampung berkenaan bersama keluarganya berkata, beliau sedih kerana tidak dapat menyelamatkan harta benda seperti dokumen peribadi termasuk wang perniagaan anaknya yang berjumlah RM4,000. 



Bagaimanapun, Heriah tetap bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya selamat dan hanya cedera ringan dalam kejadian itu. 

"Saya juga berterima kepada kerajaan khasnya DBKL dan Datuk Seri Tengku Adnan kerana sanggup datang melawat kami memberi bantuan kewangan dan menawarkan rumah sewa bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri nanti," katanya kepada Bernama. 

Mangsa Ahmad Hariri Baharuddin, 48 tahun, pula berkata beliau gembira kerana walaupun Pantai Dalam adalah kawasan dipimpin pakatan pembangkang namun keprihatinan pemimpin kerajaan terhadap rakyat tanpa mengira fahaman politik amat dihargai. 

"Saya juga berasa lega apabila diberitahu oleh Tengku Adnan bahawa ruang perniagaan untuk saya akan diusahakan kerana faham masalah saya yang perlu menyara keluarga," katanya. 

- BERNAMA

Monday 29 July 2013

Pertemuan YB Menteri bersama Presiden CEUPACS.















Hari ini Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan telah dikunjungi oleh Presiden CEUPACS Datuk Omar Osman bersama pegawai-pegawai kanan CEUPACS. Datuk Omar Osman bersama delegasi meluangkan masa hampir satu jam untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan bersama YB Menteri.
















Antara perkara yang dibincangkan termasuklah mencari jalan bagi meningkatkan lagi kualiti servis dan perkhidmatan kakitangan awam ke arah yang lebih cemerlang.


Terima kasih kepada Datuk Omar Osman dan para delegasi yang sudi melawat ke Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan.

Friday 26 July 2013

Himpunan Penulis Maya Wilayah Persekutuan, Berjaya Times Square KL

Semalam bertempat di Manhattan II Berjaya Times Square berlangsung Himpunan Penggiat Media Sosial Wilayah Persekutuan. Majlis yang diadakan selama dua hari ini memberi penerangan yang lebih jelas tentang peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan pelan perancangan jangka pendek dan panjang yang telah dilaksanakan mahupun yang masih dalam perancangan kementerian seperti Greater KL, Pelan Pembangunan Kg Baharu, Isu Perumahan, kebersihan dan lain-lain.


Kira-kira jam 9.30 malam, YB Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah hadir sebagai tetamu kehormat untuk menyampaikan ucap utama dan sesi dialog bersama para peserta. Banyak persoalan berjaya dirungkai selain perkara-perkara yang serius turut dibincangkan berkenaan dengan survival agama Islam. Sebagai contoh yang sedang menular di Wilayah Persekutuan sekarang, banyak gerakan menarik masyarakat untuk masuk ajaran sesat "mereka pergi ke tokong, kuil-kuil dan ke masjid-masjid. Mereka datang dengan berpakaian putih, kemudian mereka bawa kitab dan ajak masuk ajaran agama mereka, jika perlukan pertolongan boleh datang berjumpa kononya, kita akan bantu" ulas YB Menteri. Beliau turut mempertikaikan jika perkara seperti ini dilakukan oleh Jabatan Agama Islam akan timbul banyak isu "orang akan cakap kita cuba nak paksa orang masuk Islam dan macam-macam lagi lah" tambah beliau.

Himpunan menjadi lebih hangat apabila isu penyebaran syiah mula diperkatakan, YB Menteri menjawab dengan mengatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak akan membenarkan penyebaran syiah ini berleluasa "Syiah ini sembahyang hanya 3 waktu sahaja, sebabnya waktu lain boleh dijamakkan . Bagi Syiah, semua orang berada dalam keadaan musafir, mereka sedang menjalani satu kehidupan yang panjang. Nikah mutaah pula tak ubah seperti pelacuran." tambahnya lagi. Jadi perkara seperti ini boleh menyesatkan umat Islam dan kita akan tangani dengan tegas.

Menutup sesi dialog, Dewan Manhattan II Berjaya Times Square bergegar dengan laungan "Kuala Besut Bertambah Biru" sebanyak tiga kali yang diketuai YB Menteri sendiri. Akhir ucapan YB mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan yang diberikan dan kerajaan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.











Monday 22 July 2013

Majlis Berbuka Puasa Parlimen Lembah Pantai

















Hari ini YB Menteri telah turun ke Parlimen Lembah Pantai untuk bersama dengan rakyat di PPR Kg. Limau yang bertempat di Surau Ibadurrahman Kuala Lumpur.Turut bersama adalah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Dato' Seri Raja Nong Chik.

YB Menteri dalam ucapan ringkas beliau menegaskan kehadiran beliau yang dalam keadaan tergesa-gesa kerana ada urusan di Kuala Besut tidak sedikit pun menjadi halangan kepada beliau untuk bersama-sama berbuka puasa bersama rakyat di Parlimen Lembah Pantai.

Tambahnya lagi, kawasan di Parlimen Lembah Pantai telah dibangunkan dengan hasil usaha Menteri Wilayah Persekutuan yang dulu iaitu Dato' Seri Raja Nong Chik yang bertungkus lumus membawa kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di sini. "walaupun BN kalah di Parlimen ini, tetapi kita tetap akan membantu rakyat tidak kira menyokong kerajaan ataupun tidak, kerana prinsip kita sebagai kerajaan mestilah telus waqima ada pihak yang senantiasa memburukkan kerajaan dan menabur fitnah". katanya.


Selain itu, YB Menteri yang dalam rangka lawatan beliau ke semua parlimen wilayah memberitahu bahawa Parlimen Lembah Pantai adalah parlimen ke 6 beliau dan ucapan terima kasih kepada pengundi kawasan ini kerana memberi kemenangan kepada calon BN Dato' Seri Raja Nong Chik pada PRU13 yang lepas.

Dalam pada itu, YB Menteri menyampaikan sumbangan kepada surau Ibadurrahman sebanyak RM 10 ribu dan bantuan khas kepada anak-anak yatim, ibu tunggal serta individu yang tidak berkemampuan.


 

Saturday 20 July 2013

Lawatan Sehari YB Menteri ke Labuan & Majlis Berbuka Puasa Peringkat Wilayah Persekutuan



Hari ini YB Menteri bersama Isteri telah berkunjung ke labuan untuk  berbuka bersama rakyat di Labuan. Pada sebelah pagi setelah sampai di Labuan, YB Menteri terus ke Majlis Perasmian Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Labuan.



Lebih kurang jam 3.30 petang waktu labuan, YB Menteri berkesempatan untuk melawat ke bazaar ramadan labuan. Lawatan ke bazar ramadan Labuan ini adalah kesinambungan lawatan YB ke semua bazar ramadan seluruh Wilayah Persekutuan. Dalam lawatan ringkas tersebut, YB Menteri sangat berpuas hati dengan tahap kebersihan dan susun atur tapak yang begitu tersusun rapi.









Sebelum ke Majlis Berbuka Puasa, YB Menteri bersama-sama dengan konvoi Nur Ramadhan telah turun ke kampung Ganggarak dan Kampung Pohon Batu untuk mendekati golongan yang tidak berkemampuan dengan lebih dekat lagi. Ia adalah satu kejayaan apabila kita dapat bersama dengan mereka dan membantu meringankan beban kumpulan yang tidak berkemampuan ini, seperti hadis Rasulullah SAW dari Abu Umamah r.a Nabi saw bersabda, "Wahai anak Adam, seandainya engkau berikan kelebihan dari hartamu, yang demikian itu lebih baik bagimu. Dan seandainya engkau kikir, yang demikian itu buruk bagimu. Menyimpan sekadar untuk keperluan tidaklah dicela, dan dahulukanlah orang yang menjadi tanggungjawabmu". (HR Muslim).



Penutup lawatan YB Menteri hari ini adalah berbuka puasa bersama rakyat Parlimen Labuan di Surau An Nur Rahim Kg Sg Buton. Alhamdulillah YB telah menyampaikan bantuan kepada Pembangunan Sekolah Tahfiz Kampung Merinding bagi pihak YAB Perdana Menteri berjumlah RM 300 ribu dan peruntukan  Menteri Wilayah Persekutuan berjumlah RM100 ribu. Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut menyampaikan sumbangan khas kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan.